Air merupakan sumber minuman kepada manusia mahupun hidupan yang lain untuk meneruskan hidup. Apabila tubuh badan kekurangan air, ia akan menyebabkan badan menjadi letih dan tidak bermaya kesan dari dehidrasi.
Air dapat mengawal dan mengekalkan suhu badan di samping menghalang kekeringan dan kerosakan sel-sel badan.
Tanpa air, darah tidak akan mengalir, oksigen dan zat tidak akan dipindahkan, sisa tidak dapat disingkirkan, kebanyakan organ dan proses dalam badan tidak akan berfungsi.
Kegunaan air yang bersih dalam kehidupan manusia juga adalah untuk membersihkan makanan seperti membersihkan sayur-sayuran dan buah buahan.


Justeru, kita harus minum air yang bersih, sihat dan asli supaya proses penyingkiran bahan toksik dalam badan dapat berfungsi dengan tahap optimum atau ianya akan memburukkan lagi keadaan kesihatan anda.
Air yang bersih memainkan peranan yang amat penting sebagai penyuling dan pencuci yang terbaik terhadap toksin di dalam badan kita kerana ia dapat membantu membuang sisa beracun dan bahan kimia dalam badan.
Kepentingan air bersih terhadap kesihatan anda.
Adakah anda tahu bahawa berat badan anda terdiri daripada kira-kira 60 peratus air?
Tubuh anda menggunakan air dalam menggerakkan dan memberi fungsi semua sel, organ dan tisu untuk mengawal suhu dan mengekalkan fungsi tubuh yang lain.
Air memainkan peranan penting dalam hampir setiap fungsi utama badan. Ia merupakan elemen penting dalam tubuh kita. Oleh itu, menurut kajian yang pernah dilakukan University Of Edinburgh, kajian menyatakan “tanpa makanan, manusia mampu hidup selama lapan minggu tetapi tanpa air manusia akan mati dalam masa tiga hari.” Manusia tidak akan mampu bertahan hidup lebih lama tanpa air.
1. Membantu proses pencernaan
Air amatlah penting dalam proses pencernaan. Pencernaan bermula dengan air liur, asasnya adalah air. Pencernaan bergantung pada enzim yang didapati dalam air liur untuk membantu memecahkan makanan dan cecair serta membubarkan mineral dan nutrien lain.
Pencernaan yang betul menjadikan mineral dan nutrien lebih mudah dicapai oleh tubuh. Selain itu, air juga diperlukan untuk membantu anda mencerna serat larut.
Dengan bantuan air, serat ini mudah larut dan memberi manfaat kepada kesihatan usus anda dengan menghasilkan najis yang lembut. Ia dapat mengelakkan sembelit malah kalori akan mengalami proses pembakaran kalori yang juga berjalan dengan lancar.
2. Mengelakkan dehidrasi dan menyembuhkan penyakit
Tubuh anda kehilangan banyak air apabila melakukan senaman yang kuat, berpeluh pada suhu tinggi dan terkena penyakit yang menyebabkan cirit-birit ataupun demam.
Jika anda kehilangan air atas sebab-sebab ini, penting untuk anda meningkatkan pengambilan air yang bersih supaya anda dapat memulihkan tahap penghidratan semulajadi badan anda.
Sekiranya anda masih lagi tidak pulih atau masih lagi alami penyakit yang sama dalam tempoh yang lama, ia adalah kerana air yang anda gunakan selama ini bukanlah air bersih.
3. Mencegah kanser
Air yang bersih dapat membantu melindungi organ-organ penting terutamanya pundi kencing, dan tisu payudara yang dikhuatiri terdedah dengan kanser.
Penyelidikan yang diterbitkan dalam Jurnal Klinik Onkologi mendedahkan bahawa pengambilan air berkait rapat dengan setiap jenis kanser.
Ini bermakna, lebih banyak air yang diminum seseorang lebih kurang cenderung mendapatkan kanser. Tetapi ramai juga pesakit kanser yang suka meminum air banyak, jelas bahawa kanser juga berlaku kerana air yang diminum adalah tidak bersih dan mempunyai pelbagai molekul di dalamnya.
Ini sangat penting bagi anda sekeluarga supaya meminum air yang bersih dan mengelakkan diri daripada penyakit kanser.
4.Mengelakkan penyakit batuk dan alahan kepada bayi dan kanak-kanak
Jika bayi dan kanak-kanak sering mengalami alahan dan batuk-batuk, salah satu puncanya juga adalah daripada air yang tidak bersih. Sama ada air untuk mandi atau minum, ia akan memberi kesan kepada anda sekeluarga terutamanya bayi dan kanak-kanak.
5. Mengurangkan migrain dan pening kepala
Migrain dan pening kepala juga boleh jadi kerana air yang diminum tidak bersih dan segar. Kebanyakan daripada anda yang mengalami migrain juga perlu menyemak semula sumber air dan makanan yang diambil setiap hari.
Air yang diminum akan dibawa ke seluruh tubuh termasuk otak, malah ia akan diserap untuk mendapatkan khasiat serta melancarkan perjalanan darah ke otak. Air yang kotor menjadikan anda sekeluarga berisiko terdedah dengan sakit migrain dan pening kepala.
6.Metabolisme dan tenaga untuk rutin harian
Air dapat mengurangkan kalori yang berlebihan di dalam badan. Dengan pengambilan air bersih, ia dapat membantu membakar lemak dengan meningkatkan metabolisme.
Proses ini dikenali sebagai ‘resting energy expenditure,’ di mana tubuh akan tetap membakar kalori walaupun tubuh anda tidak melakukan sebarang aktiviti.
Ini berlaku kerana proses metabolisme telah meningkat. Malah, dalam masa yang sama, anda sekeluarga memerlukan tenaga untuk menjalani rutin harian.
7. Kulit semakin sihat
Sel dalam kulit tidak dapat berfungsi dengan baik sekiranya kekurangan air. Air mengandungi nutrien yang boleh menyingkirkan toksin dalam badan sekali gus menjadikan kulit lebih sihat. Kandungan air yang mencukupi boleh menjana sel-sel baru bagi kulit dan rambut. Jadi, sudah tentu kulit anda akan lebih ‘bernyawa’ dan tidak kusam lagi.
Selain itu, peningkatan kuantiti air dalam badan mampu membantu melembabkan kulit dan mengurangkan masalah jerawat kerana tahap toksin yang rendah. Jika anda ingin tahu, jerawat timbul apabila liang pori pada wajah anda tersumbat kerana dilitupi dengan toksin yang tidak keluar daripada badan dengan baik. Hal ini boleh diatasi dengan meminum air secukupnya. Kurangnya penghidratan juga akan menjadikan kulit anda kering dan ketat. Jadi minumlah air secukupnya untuk kulit yang lebih halus, anjal dan licin.
Kesimpulan
Khasiat air bukan sekadar untuk membersihkan tubuh sahaja malah sebagai zat yang penting untuk tubuh kita. Kita boleh kekal hidup tanpa makanan untuk beberapa hari tetapi tubuh kita tidak dapat bertahan lama tanpa minum air. Oleh itu, minumlah air secukupnya untuk memperoleh 1,001 manfaat di samping mengamalkan gaya hidup lebih sihat!